Posts Tagged ‘umrah ziarah tanpa ejen’

Umrah pertama..

Sebelum keluar dari bilik hotel, kami berdoa satu famili moga Allah mempermudahkan rukun umrah yang akan kami laksanakan. Lafaz talbiyah diteruskan semasa menaiki van hotel yang sudah sedia menunggu bagi menghantar kami menuruni jalan berbukit di Ajyad.

TalbiyahHati semakin berdebar bila kami mula melangkah kaki menuju Masjidil Haram. Dari jauh ternampak menara Masjidil Haram yang terang bercahaya. Suara suami tiba-tiba menjadi sebak. Ada getaran pada lafaz talbiyahnya. Talbiyah kami tersekat-sekat. Air mata kami laju turun tanpa dipaksa tatkala ia semakin hampir. Ia perasaan yang sukar digambarkan. Perjalanan yang tidak pasti sebelumnya, dan kami kini melangkah semakin hampir menuju Baitullah. Ada rasa syukur yang dalam….Allah menjemput dan menerima kami dalam keadaan kami yang masih serba kekurangan….Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakhbar..!!

Alhamdulillah!!  Kaki memijak dataran. Berhenti seketika di sisi Masjidil Haram, Memandang seluas-luas pandangan Masjidil Haram yang penuh cahaya dan jemaah yang kian ramai. Kami menuju laluan ke Mataf kemudiaannya untuk menunaikan tawaf tujuh pusingan memandangkan Aiman yang berkerusi roda. Kerusi roda tidak dibenarkan di dataran Kaabah. Sampai di Mataf,  melihat Kaabah untuk pertama kali walau dari kejauhan. Allahuakbar, Allahukhbar, Allahukhbar…!!

Keadaan di Mataf agak selesa, tidak padat seperti di dataran. Ini yang terbaik bagi anak-anak. Walaupun cukup teringin untuk melakukan tawaf di dataran Kaabah. Suami berniat untuk Aiman melakukan tawaf sunat. Pusingan tawaf bermula di lampu hijau yang selari dengan kedudukan Hajarul Aswad. Kami melangkah perlahan, sambil mata tidak putus melihat Kaabah. Kaabah yang dulunya hanya dilihat pada foto-foto atau kaca tv, kini tersergam gagah di hadapan mata. Pusingan kedua, Aina berbisik, “Ma, wuduk Aina batal..”. Saya, suami yang menolak Aiman dan Alya menyelesaikan dahulu pusingan kedua sebelum berhenti menemani Aina mencari tempat megambil wuduk. Pertama kali di Masjidil Haram, kami masih belum mengetahui selok belok Masjidil Haram. Yang kami tahu tempat wuduk di luar tapi tidak pasti kedudukannya kerana kami terus ke Mataf ketika tiba. Tidak mahu mengambil masa yang lama, kami mencari sudut sesuai, mengepung Aina untuk dia mengambil wuduk menggunakan air zam-zam. Melihat jam, sudah hampir memasuki jam lima. Kami mengambil keputusan, berehat sebentar dan menunaikan solat subuh terlebih dahulu. Tika azan subuh berkumandang ia saat yang cukup manis. Pertama kali menunaikan solat berjemaah di Masjidil Haram. Usai solat, kami menyambung kembali pusingan tawaf yang masih berbaki.

Alhamdulillah, tujuh pusingan tawaf kami dapat disempurnakan dengan istighfar, zikir  dan selawat seperti yang dicadangkan oleh Ustaz Huzairi dan Ustaz Imran. Tips mereka sebenarnya memudahkan kami mengingati pusingan tawaf dengan yakin. Tangan kiri Alya saya pegang kemas sepanjang pusingan tawaf bagi memastikan bahu kirinya tidak lari dari menghadap Kaabah. Saya dan anak-anak turun dari Mataf, untuk menunaikan solat sunat tawaf. Berehat sambil menikmati sejuknya air zam-zam yang membasahi tekak kami sambil menunggu suami menyelesaikan urusan tawafnya pula sebelum menyambung perjalanan umrah ke Bukit Safa bagi menunaikan Saie.

P1000441

Alhamdulillah, anak-anak diberi kekuatan walau sekadar minum madu dan habbatus sawda semasa di hotel dan dapat menyempurnakan rukun Saie walaupun ada masa kami berhenti untuk berehat dan minum air zam-zam yang banyak terdapat di laluan Saie.  Pesan Ustaz Huzairi, bila kita berniat untuk berhenti sebentar ketika saie bagi tujuan rehat atau minum air zam-zam, sewaktu hendak menyambungnya kembali, undurlah beberapa langkah ke belakang dari tempat kita berhenti tadi kerana ketika itu niat kita sudah berbeza.

P1000439

P1000451

Selesai saie, kami bertahalul dengan hati-hati, bimbang aurat terlihat oleh lelaki asing. Alhamdulillah, selesai rukun umrah kami dan bebas dari larangan dalam ihram. Perut juga sudah mula berbunyi-bunyi…

p/s: Foto-foto di laluan Saie, hanya diambil selepas selesai rukun Saie.

P1000456

Talbiah bermula..

Jumaat bersamaan 21 Jamadilawwal 1435H (23 Mac 2014). Tiba masanya untuk kami berangkat ke tanah suci. Sekitar 5:30 pagi suami melaungkan azan dan membaca doa musafir untuk ke Mekah/Madinah. Sayu rasa hati. Sepanjang perjalanan dari Kulim menuju KLIA, kami memperbanyakkan istighfar, zikir dan selawat agar perjalanan kami dipermudahkan. Singgah solat subuh di surau di susur masuk Lebuhraya Bandar Bharu/Serdang sebelum menyambung perjalanan. Sesekali kami berbual tentang perjalanan umrah kali pertama ini. Mengapa Allah memilih kami untuk melaksanakan umrah secara sendiri. Perjalanan tanpa mutawwif, tanpa rakan jemaah lain. Ada rasa sebak di hati kami ketika membicarakannya. Bila diperhalusi Allah mahu mendidik kami erti tawakal yang sebenar-benarnya. Pergantungan dan penyerahan diri secara total, hanya pada-Nya.

Alhamdulillah, tiba di KLIA sekitar 11 pagi. Melihat di monitor besar, penerbangan Saudi Airlines ditangguhkan setengah jam dari masa sebenar. Selepas check in terus kami ke Medan Selera untuk menikmati makan tengahari sebelum memasuki balai berlepas. Memandangkan penerbangan pada pukul 3.30 petang kami melakukan solat zuhur dan asar secara jamak. Suami menukar pakaian ihram di sini. Ketika menuju ke arah aerotrain kami bertembung dengan juruterbang pesawat Saudi Airlines.  Spontan dia menghampiri Aiman yang berkerusi roda dan memberi tiga ciuman sambil berkata kepada saya..”May Allah bless him..!!”

P1000384

P1000386

P1000392

P1000391

Perjalanan dari KLIA ke Jeddah mengambil masa hampir 10 jam kerana pesawat singgah di Riyadh selama sejam sebelum meneruskan penerbangan ke Jeddah. Rasanya dalam tempoh itu, kami cukup kenyang disajikan dengan dua menu berat dan satu menu ringan. Bersama kami dalam penerbangan ialah kumpulan jemaah Andalusia.

P1000416

Istighfar, zikir dan selawat berterusan semasa tempoh penerbangan. Kami berniat umrah ketika dalam pesawat dan bermulanya lantunan talbiah. Berulangkali saya meminta Aina dan Alya yang duduk di belakang kami ketika itu berhati-hati dengan larangan dalam ihram.  Alhamdulillah, sekitar 10:o0  malam waktu Arab Saudi, pesawat mendarat di bumi Jeddah.

Ketika menunggu untuk pemeriksaan Imigresen , suami menelefon tuan Rahman memaklumkan kami telah tiba. Jenuh menunggu di barisan bagi pemeriksaan Imigresen yang sesak dengan jemaah yang baru tiba. Rupa-rupanya ada jemaah berkumpulan yang asyik mahu memotong barisan bila melihat ahli jemaah mereka di  hadapan. Mungkin mereka ini kebimbangan, mungkin pertama kali di bumi asing buat mereka begitu risau ditinggalkan. Ia ujian pertama dan tidak mahu ia terus mengganggu emosi kami yang sudah berdiri melebihi sejam, suami berusaha melihat ke laluan lain. Alhamdulillah, jauh di hujung sana, nampak laluan lebih lapang. Terus kami menuju ke sana. Tidak sampai 45 minit, urusan imigresen selesai. Alhamdulillah. Masa untuk mengambil bagasi dan sudah ada pekerja yang menunggu untuk membawa beg. Ketika ini, banyak beg telah diletakkan di lantai. Nampak satu beg besar..Alhamdulillah, beg pertama telah dijumpai. Ternampak kerusi roda Aiman. Lega. Mencari lagi. Ketika ini saya mohon pertolongan Allah dan membaca selawat Fatih. Hanya sebentar, tiba-tiba ternampak beg-beg kami tersusun elok di lantai…berdekatan antara satu sama lain….Allahuakbar.

Ada cerita cemas bercampur lucu semasa menunggu tuan Rahman, pemandu dan pemilik perkhidmatan kereta sewa yang akan membawa kami ke Mekah. Sewaktu menunggunya, tiba-tiba mata terlihat tag nama di beg besar. “Allah, Pa silap beg…ni bukan beg kita…” Saya sudah mula cemas. Tuan Rahman bila-bila masa sahaja akan tiba. Terus suami bergegas membawa masuk beg besar kembali. Saiz dan warna beg memang hampir sama. Punya riben juga tag hampir sama buat saya terkeliru semasa menunjuk beg kepada warga Nepal yang membantu kami memuatkan bagasi. Dalam beg besar punya semua kelengkapan umrah…bimbang tapi hati berkata “Insya-Allah, beg masih ada..” Memohon pertolongan Allah…Tidak lama, suami keluar dengan membawa beg kami…benar-benar beg kami…Alhamdulillah dan tuan Rahman juga telah tiba. Dalam MPV tuan Rahman, suami berkata, ” Selalu babah dok tertanya-tanya macam manalah orang boleh silap ambil beg kat airport...hari ini Allah dah tunjuk macam mana boleh jadi..”….dan lantunan talbiah terus meniti di bibir kami.

Jalanraya sesak menuju Mekah walau telah melangkaui tengah malam.  Tiga beradik menyambung tidur. Kami tiba di Elaf Ajyad Hotel, Mekah selepas sejam setengah dalam perjalanan. 

P1000585

Ketika check-in sekitar 2:30 pagi di hotel yang ditempah secara online sejak tiga bulan lalu,  ada kejutan dari-Nya. Alhamdulillah, dari 4 katil sebilik yang ditempah, kami mendapat ala hotel suite dengan 2 bilik  yang dikira luas bagi kami (3 katil + 2 katil) beserta dua bilik air berasingan yang tiada dalam senarai tempahan, masih pada harga yang sama..!! Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar,  terasa benar kasih sayang Allah…
P1000433

 

P1000430

P1000436

Menyimpan barang di bilik dan bersiap sebelum menuju Baitullah…

 

%d bloggers like this: