Posts Tagged ‘saie’

Umrah pertama..

Sebelum keluar dari bilik hotel, kami berdoa satu famili moga Allah mempermudahkan rukun umrah yang akan kami laksanakan. Lafaz talbiyah diteruskan semasa menaiki van hotel yang sudah sedia menunggu bagi menghantar kami menuruni jalan berbukit di Ajyad.

TalbiyahHati semakin berdebar bila kami mula melangkah kaki menuju Masjidil Haram. Dari jauh ternampak menara Masjidil Haram yang terang bercahaya. Suara suami tiba-tiba menjadi sebak. Ada getaran pada lafaz talbiyahnya. Talbiyah kami tersekat-sekat. Air mata kami laju turun tanpa dipaksa tatkala ia semakin hampir. Ia perasaan yang sukar digambarkan. Perjalanan yang tidak pasti sebelumnya, dan kami kini melangkah semakin hampir menuju Baitullah. Ada rasa syukur yang dalam….Allah menjemput dan menerima kami dalam keadaan kami yang masih serba kekurangan….Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakhbar..!!

Alhamdulillah!!  Kaki memijak dataran. Berhenti seketika di sisi Masjidil Haram, Memandang seluas-luas pandangan Masjidil Haram yang penuh cahaya dan jemaah yang kian ramai. Kami menuju laluan ke Mataf kemudiaannya untuk menunaikan tawaf tujuh pusingan memandangkan Aiman yang berkerusi roda. Kerusi roda tidak dibenarkan di dataran Kaabah. Sampai di Mataf,  melihat Kaabah untuk pertama kali walau dari kejauhan. Allahuakbar, Allahukhbar, Allahukhbar…!!

Keadaan di Mataf agak selesa, tidak padat seperti di dataran. Ini yang terbaik bagi anak-anak. Walaupun cukup teringin untuk melakukan tawaf di dataran Kaabah. Suami berniat untuk Aiman melakukan tawaf sunat. Pusingan tawaf bermula di lampu hijau yang selari dengan kedudukan Hajarul Aswad. Kami melangkah perlahan, sambil mata tidak putus melihat Kaabah. Kaabah yang dulunya hanya dilihat pada foto-foto atau kaca tv, kini tersergam gagah di hadapan mata. Pusingan kedua, Aina berbisik, “Ma, wuduk Aina batal..”. Saya, suami yang menolak Aiman dan Alya menyelesaikan dahulu pusingan kedua sebelum berhenti menemani Aina mencari tempat megambil wuduk. Pertama kali di Masjidil Haram, kami masih belum mengetahui selok belok Masjidil Haram. Yang kami tahu tempat wuduk di luar tapi tidak pasti kedudukannya kerana kami terus ke Mataf ketika tiba. Tidak mahu mengambil masa yang lama, kami mencari sudut sesuai, mengepung Aina untuk dia mengambil wuduk menggunakan air zam-zam. Melihat jam, sudah hampir memasuki jam lima. Kami mengambil keputusan, berehat sebentar dan menunaikan solat subuh terlebih dahulu. Tika azan subuh berkumandang ia saat yang cukup manis. Pertama kali menunaikan solat berjemaah di Masjidil Haram. Usai solat, kami menyambung kembali pusingan tawaf yang masih berbaki.

Alhamdulillah, tujuh pusingan tawaf kami dapat disempurnakan dengan istighfar, zikir  dan selawat seperti yang dicadangkan oleh Ustaz Huzairi dan Ustaz Imran. Tips mereka sebenarnya memudahkan kami mengingati pusingan tawaf dengan yakin. Tangan kiri Alya saya pegang kemas sepanjang pusingan tawaf bagi memastikan bahu kirinya tidak lari dari menghadap Kaabah. Saya dan anak-anak turun dari Mataf, untuk menunaikan solat sunat tawaf. Berehat sambil menikmati sejuknya air zam-zam yang membasahi tekak kami sambil menunggu suami menyelesaikan urusan tawafnya pula sebelum menyambung perjalanan umrah ke Bukit Safa bagi menunaikan Saie.

P1000441

Alhamdulillah, anak-anak diberi kekuatan walau sekadar minum madu dan habbatus sawda semasa di hotel dan dapat menyempurnakan rukun Saie walaupun ada masa kami berhenti untuk berehat dan minum air zam-zam yang banyak terdapat di laluan Saie.  Pesan Ustaz Huzairi, bila kita berniat untuk berhenti sebentar ketika saie bagi tujuan rehat atau minum air zam-zam, sewaktu hendak menyambungnya kembali, undurlah beberapa langkah ke belakang dari tempat kita berhenti tadi kerana ketika itu niat kita sudah berbeza.

P1000439

P1000451

Selesai saie, kami bertahalul dengan hati-hati, bimbang aurat terlihat oleh lelaki asing. Alhamdulillah, selesai rukun umrah kami dan bebas dari larangan dalam ihram. Perut juga sudah mula berbunyi-bunyi…

p/s: Foto-foto di laluan Saie, hanya diambil selepas selesai rukun Saie.

P1000456

Kami bayangkan..

7.30 pagi Ahad lepas, kami telah bersiap sedia untuk memulakan latihan pertama. Kata suami, ” Kita minum madu dulu, lepas latihan, balik nanti baru bersarapan.” Tetapi perancangan Allah itu lebih baik, hujan turun agak lebat semasa saya mula menyarung kasut yang sudah begitu lama terperuk di almari kasut. Masuk kembali ke dalam rumah dan bersarapan. Alhamdulillah, hujan berhenti sejam kemudian.

Berjogging atau berjalan-jalan bukanlah rutin saya. Seingat saya semasa acara merentas desa di sekolah dulu, saya selalu berada di kumpulan terakhir yang tiba kerana cepat benar saya termengah-mengah. Tahun ini ada juga sekali-dua saya berjalan-jalan di sekitar komuniti tapi penat bukan kepalang dan kaki mula sakit sana sakit sini….terlebih berat juga agaknya…

Redup selepas hujan, sambil berpusing gerakan tawaf, sambil memasukkan notis tentang jemputan ibadah korban untuk komuniti kami di peti surat jiran-jiran, kami berjalan sambil suami menolak Aiman menggunakan ‘stroller’. Kali ini tidak mengah….kami berjalan dan berjalan dan berjalan jauh daripada biasa. Hampir sampai ke rumah di hujung perjalanan, hujan turun kembali…dan kami berlari-lari….Ia momen yang cukup manis…

Kami bayangkan….kami bayangkan sepanjang latihan jalan kaki kami, kami bertawaf dan bersaie……sambil memuji-muji Allah dan Rasulullah SAW….Kaki tidak terasa sakit dan hampir tiada rasa letih yang melampau seperti dulu-dulu….dan hujan yang turun semasa awal pagi memudahkan kami melakukan latihan dek suasana yang cukup damai dan sejuk…dan hujan di akhirnya bikin kami berlari seperti anak-anak kecil…

Kata suami, “Kita lakukan setiap hujung minggu nanti bersama-sama Aina dan Alya juga”. Latihan fizikal yang perlu kami biasakan selain ilmu dan bekalan lain. Pelan sudah ada walau tabungan masih dalam usaha. Insya-Allah dengan rahmat dan izin dari-NYA, kami sekeluarga akan berada di sana…..Doakan kami…Melakukan rukun umrah sebaik-baiknya bersama-sama anak2…beribadat semata-mata kerana Allah, semata kerana Allah dan semata-mata kerana Allah.

Kata suami, “Ma, hari ini kita berjalan 3 kilometer..!!” Angka besar yang pertama kali dipecahkan oleh saya selepas bertahun-tahun lamanya hanya kerana kami bayangkan, kami bayangkan…dan Allah permudahkan…Alhamdulillah!!!