Posts Tagged ‘japan’

Trip Jelajah Bumi Sakura

Lamanya tidak bersiaran di blog. Hari ini, saya kongsikan perjalanan kami ke bumi sakura. Perkongsian boleh tahan panjang ‘Siri Pertama Jelajah Bumi Sakura’ pada 24 November – 30 November 2016 lalu.

# Hari 1

Tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda pada pukul 10:30 malam. Alhamdulillah, sebelum keluar pintu pesawat, kerusi roda Aiman sudah menunggu.

Semasa pemeriksaan kastam, kami dapat laluan VIP kerana Aiman. Ambil beg, terus beli tiket keretapi di mesin tiket yang terdapat berhampiran pintu keluar.

Naik keretapi menuju ke Stesyen Zoshiki untuk ke rumah penginapan pertama. Alhamdulillah, semasa menempah rumah penginapan, tuan rumah sudah beri info terperinci. Kei San ke stesyen untuk menjemput kami. Jalan kaki ke rumah penginapan kira-kira 10-15 minit dalam suhu sejuk gedi.

Malam pertama di rumah penginapan pertama di Ota-ku Haneda.

# Hari ke-2

Pukul 7 pagi suami keluar menaiki keretapi untuk mengambil kereta yang ditempah di lokasi Haneda Airport. Kami tempah kereta tiga minggu sebelum trip di Economy Car Rentals (http://www.economycarrentals.com)

Suami balik, bawa bagasi dan bergerak ke Jhonan-Tokubudtsu-Shien Gakkou (Sekolah Pendidikan Khas Jhonan) yang terletak di Ota-ku, Haneda. Lawatan ringkas untuk menimba ilmu.

Selepas itu kami bergerak mencari kedai Lawson terdekat (ala Kedai 7-Eleven) untuk mencetak tiket Fujiko. F. Fujio Museum yang ditempah secara online di http://fujiko-museum.com/english/#sec-ticket. Tiada kaunter tiket di muzium ya.

Dapat tiket, terus ke Fujiko・F・Fujio Museum (Muzium Doraemon) yang di terletak di bandar Kawasaki. Boleh klik di sini untuk butiran lanjut, http://fujiko-museum.com/english/welcome/

Kami bergerak ke Tokyo. Solat jamak di Tokyo Camii. Beli makanan di kedai Lawson sebelum ke singgah ke kedai untuk mengambil ‘pocket wifi’ yang ditempah secara online di http://en.wifi-rental-store.jp/price.html. Sebenarnya mereka boleh hantar hingga ke depan pintu. Memandangkan kami tiada di rumah penginapan, kami mengambil keputusan mengambil terus di kedai.

Menuju ke Yokohama dan bermalam di sana.

# Hari ke-3

Bergerak ke Tasik Kawaguchi dengan menggunakan lebuhraya. Banyak terowong tetapi saiznya lebih besar. Tiada kereta yang tikam-tikam, beri lampu besar, hon-hon atau memandu seperti F-1. Semuanya berhemah. Di sepanjang jalan ketika hampir ke destinasi Fujisan menampakkan diri.

Selepas tiba ke Tasik Kawaguchi, ambil foto berlatar belakangkan tasik cantik dan Fujisan, kami bergerak ke Kachi-Kachi Ropeway http://www.kachikachiyama-ropeway.com/en/ yang terletak berdekatan sahaja. Salji agak tebal. Tiada akses kerusi roda dan beli tiket di tingkat satu. Namun, lelah mendukung Aiman dan kakak yang membawa kerusi roda secara bergilir berbaloi dengan pemandangan yang sangat cantik.

Sempat singgah di Gotemba Park dan tiga beradik golek-golek atas salji.

Menuju ke ladang teh di Imamiya. Tersasar pada mulanya tetapi kami dapat menikmati pemandangan indah dan merakam foto-foto kebun-kebun sayur, rumah-rumah kampung dan Fujisan yang terus menampakkan dirinya.

Destinasi seterusnya ke Masjid Fuji untuk menunaikan solat dan memberi sumbangan daripada kawan-kawan kepada pihak masjid.

Bergerak ke Pusat Islam Shizuoka untuk menyampaikan sumbangan kawan-kawan dan bermalam di rumah penginapan di Shizuoka.

# Hari ke-4

Hujan. Meneruskan perjalanan ke Miyama Kayabuki-No-Sato perkampungan tradisional di Kyoto yang berusia sekitar 150-200 tahun. Lihat link ini, https://uncoveringjapan.com/2014/01/10/spotlight-miyama-kayabuki-no-sato-kyoto-pref/

Pelan ke Kyoto Castle dibatalkan dek hujan yang terus turun. Kami bergerak ke Osaka dan singgah ke Masjid Osaka. Berjumpa wanita muslim berbangsa Jepun di sana.

Dari Masjid Osaka, kami ke Osaka Aquarium Kaiyukan. Tiket dijual di kaunter. (http://www.kaiyukan.com/language/eng/index.html) dan menaiki Tempozan Giant Ferris Wheel. Tiket juga boleh dibeli di kaunter. (http://www.osaka-info.jp/en/facilities/cat10/post_230.html). Giant Ferris Wheel dihentikan seketika untuk membolehkan ramp dipasang untuk kerusi roda Aiman dapat memasuki gondola.

Bermalam di Osaka.

# Hari ke-5

Jalan-jalan di taman Osaka Castle. Merasa cantiknya pemandangan musim luruh. Kemudian, kami terus bergerak ke Nara Park di Nara. Nara Park adalah antara taman tertua di Jepun. Lihat link ini, http://www.japan-guide.com/e/e4103.html. Memang seronok di sini. Singgah di bazar untuk membeli sedikit cenderamata dan kuih dorayaki yang baru dibuat.

Dari Nara, kami menuju ke Arashiyama Bamboo Grove di Kyoto (http://www.insidekyoto.com/arashiyama). Ramainya umat. Jalan masuk ke dalam sedikit, jumpalah pemandangan buluh yang indah. Bayaran parkir lot di sini mahal berbanding tempat lain.

Kami ke Masjid Kyoto, satu-satunya Masjid yang tidak membenarkan foto dalam masjid diambil.

Usai makan malam, kami bergerak ke Nagoya dan bermalam di hotel.

Suami belanja makan sushi dan tempura di restoran Jepun di sini.

# Hari ke-6

Hari terakhir di bumi sakura. Kami terus bergerak ke Shizuoka semula untuk destinasi kedua terakhir sebelum pulang. Kami singgah ke Chibi Maruko Chan Land yang terletak di S-Pulse Dream Plaza. (http://www.visit-shizuoka.com/en/spots/detail.php?kanko=5). Ada kedai cenderahati di plaza ini, dan tambah lagi.

Menuju Yokohama dan singgah ke Masjid Yokohama untuk menunaikan solat. Masjid kedua terbesar selain daripada Camii Mosque yang kami kunjungi sepanjang trip.

Selepas itu, kami mengunjungi RDA Yokohama untuk menimba dan berkongsi ilmu daripada tim di sana untuk terapi berkuda.

Menuju ke Haneda selepas itu untuk menyerahkan kembali kereta sewa. Kami dihantar oleh kenderaan Economy Car Rentals terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda.

Solat di ruang solat di tingkat 3F, Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda sebelum menikmati pizza original panas-panas di tingkat 4F.

Berlepas pulang pada jam 11:30 malam dan tiba di KLIA2 pada jam 6:10 pagi.

Poket WIFI- Kebanyakan rumah penginapan memang menyediakannya untuk dipinjam oleh penyewa. Memandangkan kami bergerak dari satu tempat ke satu tempat, kami mengambil keputusan untuk menyewa. Poket WIFI yang disewa, dipos kembali di kaunter pos yang terletak di lapangan terbang.

Kereta Sewa-Kami mengambil keputusan memandu sendiri untuk ‘merasa’ lebih dekat di bumi sakura. Boleh singgah di mana-mana dan mudah untuk membawa kerusi roda Aiman. ‘Navigator’ sedia ada tetapi ‘Google Maps’ masih diperlukan apatah lagi ketika mencari masjid.

Rumah penginapan-Kami tempah di https://www.airbnb.com/ dan Agoda.com. Jika memandu sendiri, pastikan ada parkir lot sendiri atau parkir lot yang berbayar dan dekat dengan rumah penginapan. Musim sejuk ini, pastikan rumah penginapan punya pemanas dan bekalan air panas juga. Jangan lupa kemas rumah penginapan dan buang sampah sebelum keluar.

Makanan-Kami bawa sedikit bekalan dari Malaysia. Namun, kami lebih banyak membeli di Lawson dan FamilyMart (kedai serbaneka ala 7-Eleven). Menu harian kami seperti Onagiri, salad, sushi, jagung, jus, teh panas, nasi yang siap dimasak dan ikan yang hanya dipanaskan di ‘mikrowave’ di rumah penginapan. Makan di mana sahaja semasa dalam perjalanan. Selalunya dalam kereta.

Insuran perjalanan-Kami mengambil insuran perjalanan daripada Allianz.

Kenangan yang manis di bumi sakura. Insya-Allah, kami akan berkunjung lagi untuk Siri Kedua Trip Jelajah Bumi Sakura.

%d bloggers like this: