Milo Ais..

Semasa sibuk melihat-lihat barang-barang di Kedai Borong Man lebih sebulan yang lalu, terdengar suara anak kucing mengiau-ngiau. Tiba-tiba terasa sayu mendengar suara anak kucing tersebut. Kata juruwang di kaunter, anak kucing itu sudah ada sejak 2-3 hari yang lepas dan salah seorang adik jurujual perempuan memberinya makan. Aina dan Alya terus meminta untuk menjaga anak kucing tersebut. Tidak berfikir panjang kali ini, hati tergerak mahu memeliharanya.  “Kalau terus di sini, di jalan besar ini, mungkin anak kucing ini mati dilanggar…seperti nasib kebanyakkan anak kucing gelandangan yang lain..” bisik hati kecil saya. Suami juga beri lampu hijau. Adik jurujual yang memberi makan nampak gembira dengan keputusan kami. Tiga beradik?? Seronok habis..!!

Jadi bermulalah episod anak kucing kurus di rumah kecil kami. Hari kedua sudah bikin saya risau bila tidak melihat bayangnya. Tengahari, rakan Alya datang bawa anak kucing kurus. Kata kawan Alya, anak kucing Alya pergi sekolah. Alya pulang lewat dan minta rakannya memabawa anak kucing pulang. Lega rasanya melihat anak kucing masih selamat. Bila Alya pulang, Alya beritahu dia ternampak anak kucing di sekolah. Alya letak bawah tangga dan berpesan pada anak kucing jangan ke mana. Habis sesi persekolahan, Alya lihat anak kucing masih di bawah tangga dan meminta rakannya membawanya pulang kerana hari itu Alya masih ada tugasan.

Anak kucing kurus yang banyak kutu hilang kutunya bila dimandikan 2x seminggu oleh Aina. Ikan sardin tin dan nasi menjadi menu hariannya. Berselera dia makan. Cadangan menu yang diberi jiran yang memberi kucingnya menu yang sama. 

Hendak memberi nama pada anak kucing kurus juga satu hal. Aina dan Alya memanggil ‘Yogurt’. Aiman pula memanggilnya ‘Milo’. Bila saya bergurau dengan Aiman ingin beri nama ‘Milo Ais’ terus Aiman dan 2 kakak berkenan. Jadi anak kucing kurus dipanggil ‘Milo Ais’.

Milo Ais sebenarnya menjadi terapi pada Aiman. Dulu, walaupun Aiman suka melihat kucing tetapi bukan memegangnya. Bila ada Milo Ais, lama-lama Aiman sudah hilang takutnya. Aiman pula yang membuli Milo Ais. Milo Ais mesti di sisinya selalu. Kami pula yang stres bila terpaksa mencari Milo Ais serata rumah untuk diberi pada Aiman. Bila Milo Ais ‘naik syeikh’ pula, bergurau menggigit kaki dan tangan Aiman sudah Aiman pula menjerit..” Ma, tolong, tolong..”. Ayat yang sama keluar semasa Aiman dalam pantang masuk jawi tempoh hari. Tiap kali Milo Ais datang dekat, Aiman menjerit minta tolong, takut tempat khatannya digigit Milo Ais…

IMG14349-20140126-1107

IMG14474-20140218-0816

Milo Ais tidur dan makan di luar. Sengaja kami lepas bebaskan dia. Sebelah siang Milo Ais akan masuk bermain dan tidur di dalam rumah. 

IMG14454-20140212-2040 IMG14527-20140228-2142

Anak kucing kurus yang sudah semakin berisi badannya…..menjadi rakan sepermainan satu famili…Bila teringat Milo Ais akan ditinggalkan di kedai haiwan belaan semasa kami tiada di sini nanti, terasa kasihan…10 hari dalam kurungan. Moga-moga Milo Ais dapat bertahan menunggu kami pulang..!!

Kita ini banyak dosa….

tawaf2_poj1zhKata-kata Ustaz Imran mencuit hati saya ketika Ustaz memberi panduan tentang apa yang perlu dilafazkan ketika pusingan tawaf nanti. Ustaz Imran datang ke rumah kami 2 minggu lepas untuk sesi berbekam. Bila Ustaz buka cerita beliau baru sahaja pulang daripada menunaikan umrah, terus kami tidak melepaskan peluang bertanyakan isu-isu berkaitan umrah. Ustaz Imran rupanya salah seorang mutawwif. Ustaz cukup peramah malah menawarkan diri untuk membantu menjawab isu-isu yang berada di buku nota kami.

Pesan ustaz, ” Doa biar dari hati, yang kita faham…Ada ramai yang sibuk mencari doa-doa dalam buku semasa bertawaf hingga ada yang bahunya berpaling dari Kaabah tanpa disedari hingga menyebabkan pusingan tawaf mereka ketika itu terbatal…”. Ustaz meminta saya mencatat apa yang beliau lafazkan semasa melakukan tawaf selama ini.

Pusingan pertama – Istighfar sebanyak yang mungkin. “Ini yang pertama kita perlu lakukan. Mohon ampun banyak-banyak pada Allah. Kita ini banyak dosa…” nasihat Ustaz.

Pusingan kedua – Lafazkan “Lailahaillallah (Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah”

Pusingan ketiga – Lafazkan selawat kepada Rasulullah SAW.

Pusingan keempat – Lafazkan ‘Subhanallah (Maha Suci Allah)”

Pusingan kelima – Lafazkan “Alhamdulillah (Segala puji hanya untuk Allah)”

Pusingan keenam – Lafazkan ” Allahuakbar (Allah Maha Besar)”

Pusingan ketujuh – Lafazkan ” Rabbana atina fiddunya hasanah, wafil akhirati hasanah, waqina ‘aza bannar (Ya Allah kurniakan kami seluruh kebaikan ketika di dunia, dan seluruh kebaikan ketika di akhirat serta jauhkan kami daripada api neraka”

Dan saya juga teringat kepada coretan Prof Muhd Kamil dalam buku “Travelog Haji”nya.  Setiap kali pusingan tawafnya tiba di Hijr Ismail, Prof akan berdoa untuk setiap anak-anak dan keluarganya.

Dari kak Saba, kenalan di FB, panduan bacaan semasa pusingan tawaf seperti berikut : Pusingan 1- baca al- Fatihah, pusingan ke 2, ayat kursi, pusingan ke 3 baca Surah al-Kafirun, pusingan ke 4 baca surah al -Ikhlas, pusingan ke 5, baca surah al Falaq, pusingan ke 6 , baca surah an-Nas dan pusingan ke 7 kembali kepada surah al-Fatihah.

“Kita ini banyak dosa…Semoga Allah mengampuni segala dosa-dosa kita dengan rahmat-Nya.”

Menuju Baitullah, sungguh kami mencari keredhaan-Nya.

It’s okay…

Selepas hampir 5 tahun kehadiran anak istimewa ini dalam famili kecil kami, perasaan ini juga telah bertukar hampir sepenuhnya. Tiada lagi tangis hiba, tiada lagi kerisauan memuncak. Yang ada hanya rasa syukur yang tiada berpenghujung..Alhamdulillah. “RAIKAN HIDUP” (meminjam kata-kata sis Raja Rohaisham yang punya 2 anak Cerebral Palsy). Coretan dari hati untuk satu-satunya anak lelaki istimewa kami, Muhammad Aiman dan rakan-rakan seperjuangan..!!

IMG13007-20130723-1531

IT’S OKAY!!

It’s okay, 

Bila punya anak istimewa..

Ia bukan tentang kenan, sumpahan atau kifarah…

Ia tentang tulisan takdir yang telah tertulis lama…..di Luh Mahfuz.

It’s okay,
Bila punya anak istimewa,
Kelainannya bikin mata hati kita terbuka, 
Bikin kita sentiasa bermuhasabah diri,
Tentang hubungan kita dengan Sang Pencipta…

It’s okay,
Bila punya anak istimewa,
Makin kita redha, makin kita bersyukur,
Urusan kita Insya-Allah sentiasa dipermudahkan,
Rezeki kita sentiasa akan bertambah,
Kasih sayang kita bercambah,
Keimanan kita bertingkat…

It’s okay,
Bila punya anak istimewa,
Tidak perlu menangis hiba,
Redhakan kehadirannya…
pasti senyuman sentiasa di bibir kita…

Alhamdulillah!!!

Persediaan..

Persediaan menuju Baitullah. Sebenarnya ia sudah bermula sejak Ramadhan lalu. Perkara pertama yang kami lakukan ialah dengan menyiapkan diri dengan bekalan ilmu dan ibadah sebelum kepada persediaan material. Kami memandang serius tentang bekalan ilmu sebelum pergi. Nasihat dan panduan daripada kawan-kawan, Prof Kamil menerusi bukunya ‘Travelog Haji’  dan ahli-ahli di PHDU untuk memperbanyakkan amalan sunat sedaya upaya kami cuba ikuti dan istiqomah. Mohon keampunan daripada Allah dan memohon dipermudahkan segala urusan kami. Ibadah umrah bukan seperti melancong ke luar negara yang biasa kita lakukan. Ia lebih dari itu. Apatah lagi kami yang akan pergi tanpa mutawwif.

Sumber rujukan kami termasuklah daripada buku-buku dan video tentang umrah/haji yang disampaikan oleh para ustaz yang berpengalaman, membaca catatan perjalanan  para jemaah di pelbagai blog dan pengalaman dari jemaah di group FB ‘Pengalaman Haji dan Umrah (PHDU). Alhamdulillah, terkini kami turut mengikuti kursus/taklimat/personal coaching tentang umrah & ziarah daripada para ustaz yang berpengalaman dalam membawa para jemaah dan juga mejadi mutawwif di sana. Dari Ustaz Rafidi kami diperkenalkan dengan Ustaz Jafni yang menguruskan permohonan visa umrah kami sekaligus memberi panduan dan nasihat bila kami tiba di sana nanti. Malah Ustaz Jafni memberi nombor telefon kawannya yang berada di Mekah jika sekiranya kami mengalami sebarang kesulitan di sana kelak. Alhamdulillah. Dari Ustaz Imran yang datang berbekam tempoh hari pula, kami dijemput untuk menghadiri kursus umrah selama 7 minggu yang disampaikan oleh rakannya Ustaz Huzairi.  Ustaz Huzairi mengupas tentang ibadah ini dengan begitu teliti sekali. Terasa benar kasih sayang Allah pada hambanya yang fakir ilmu yang memohon agar ditemukan dengan mereka yang soleh dan dapat membantu kami dalam urusan ini.

IMG14374-20140129-1424

IMG14434-20140210-1646

Hujung minggu kini kami sering melakukan aktiviti jalan kaki satu famili. Pusing-pusing taman untuk persediaan fizikal. Selalunya anak jiran juga akan tumpang sekaki. Insya-Allah, sesi bekam juga akan dipertingkatkan mulai bulan ini sebagai persediaan pemantapan kesihatan sebelum ke tanah suci nanti. Alhamdulillah, lebih setahun beristiqomah dengan bekam dan makanan sunnah, kami dapat merasakan kelainan pada tubuh.

Persediaan material hanya mula dibuat baru-baru ini selepas kami menyediakan senarai tentang tentang apa yang perlu dibawa sepanjang umrah dan ziarah nanti. Persediaan material dipecah empat bahagian iatu pakaian, penjagaan kesihatan, lain-lain dan senarai barang yang akan dikongsi. Insya-Allah.

IMG14339-20140122-1612

IMG14436-20140210-2057

Sebenarnya kami tidak berbelanja banyak untuk pakaian. Saya dan dua beradik membawa pakaian yang sedia ada. Cukuplah. Sebagai tambahan, telekung dibeli untuk dua beradik.  Hanya Aiman dan suami yang berbelanja untuk pakaian mereka. Suami memang jarang membeli pakaian jadi wajarlah kali ini suami diberi laluan. Kami memilih Mydin Wholesale di Ipoh dan di Bukit Jambul, Pulau Pinang, kedai menjual barangan umrah dan Tesco untuk membeli pakaian dan barangan persediaan umrah. 

Jom lihat antara senarai di bawah. Moga-moga ia dapat membantu kawan-kawan satu hari nanti. Yang pasti Al-Quran Tafsir dan Terjemahan serta tasbih/ digital counter adalah barangan yang WAJIB, WAJIB bawa ya..

SENARAI ITEM WAJIB BAWA UNTUK PENJAGAAN KESIHATAN.

1. Gabungan Madu & Habbatusawda serta Qulat (stok untuk seminggu) 2. Ubat selsema 3. Ubat batuk dan kahak 4. Ubat demam (Untuk ketiga-tiga ubat ini Insya-Allah kami memilih jenama Hurix yang menyediakan remedi dari herba.) 5. Syringe (untuk beri Aiman makan madu/ubat)  6. Ubat sakit perut 7. Minyak Cap Kapak 8.Vicks 9. Pelembap bibir tanpa pewangi dan alkohol  9. Krim pelembap badan tanpa pewangi dan alkohol 10. Krim pelembap tumit tanpa pewangi dan alkohol 10. Voren Supp (Ubat demam Aiman yang dimasukkan melalui punggung, guna hanya jika benar-benar diperlukan) 11. NOSK (Penutup hidung kecil) 12. Cotton bud  13. Pantyliner/tuala wanita 14. Face Mask 15. Infrared Ear Thermometer

SENARAI ITEM WAJIB BAWA UNTUK LAIN-LAIN.

1. Aiman (Tisu, tisu lembap tanpa bau, tuala kecil dan stok lampin pakai buang) 2. Sugi 3. Sabun tanpa bau 4. Klip potong kuku 5. Shaver 6. Gunting lipat 7. Pisau lipat kecil 8. Torchlight kecil 9. Tali untuk sidai baju yang dibasuh nanti 10. Botol spray wudhuk 11. Sabun basuh baju 12. Buku dan nota tentang umrah 13. Plastik isi sampah/baju kotor 14. Beg kasut 15. Salotape 16. Tape kertas 17. Sarung tangan 18. Tag nama & info untuk dipakai oleh anak-anak 19. Salinan pasport 20.  Buku2 sesuai untuk 3 beradik (semasa kami beriktikaf di Masjidil Haram & Masjid Nabawi nanti) 21. Charger handphone & shaver  22. Universal Socket 23. Netbook 24. Penyangkut baju 25. Cangkuk bentuk S 26. Cermin mata lama (stand-by jika berlaku kecemasan berkaitan cermin mata)….Item 24-26 kak Saba, kenalan FB yang ingatkan..TQVM kak!!

SENARAI ITEM WAJIB BAWA UNTUK PERKONGSIAN.

Ini antara item-item yang dicadangkan oleh ahli-ahli di PHDU untuk perkongsian di sana nanti termasuklah kerusi roda, kerusi lipat, sarung tangan dan kaki, gula-gula untuk batuk, tasbih, gulagula atau coklat untuk kanak-kanak, sarung kasut, Al-Quran,tisu, sejadah kecil dan wang Riyal kecil untuk hadiah pada petugas2 kebersihan di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

…dan sudah tentu bila masuk bab ini, kami cukup gembira untuk membeli-belah bagi perkongsian. Moga-moga sedikit perkongsian dari kami nanti menggembirakan mereka….

Persediaan demi persediaan menuju Baitullah. Masih ingat kata-kata suami, “Kita buat sehabis baik..”. Insya-Allah, semoga perjalanan ini diizinkan Allah dengan rahmat-Nya. Aamiin.

 

Aiman Masuk Jawi…

Alhamdulillah, Isnin lepas, 3 Rabiul Akhir 1435H, Aiman masuk jawi….Masuk jawi ketika umur Aiman 4 tahun 10 bulan..!!

Serius, saya ingatkan prosedur khatan untuk anak lelaki mudah dan pantas. Tetapi bila Aiman melaluinya, melihat sendiri dari awal hingga hampir selesai, ia bukanlah prosedur yang mudah. Ketika hampir selesai prosedur, tiba-tiba sahaja terasa mual…!! Suami memang tidak melihat proses khatan sekadar memegang tangan Aiman memberi semangat. Patutlah hanya Dr Anuar sahaja di Poliklinik Azhar & Rakan-rakan di daerah ini yang boleh melakukannya. Oleh kerana Dr Anuar tidak bertugas di Kulim pada Isnin lepas, kami ke Poliklinik Dr Azhar & Rakan-rakan di Bagan Ajam, Butterworth untuk khatankan Aiman.

IMG14415-20140203-1528

Proses khatan Aiman menggunakan kaedah konvensional bersama penggunaan alat Cautery. Alat ini ialah satu alat yang menggunakan elektrik atau bateri.  Ia menghasilkan haba di hujungnya dan boleh digunakan untuk memotong lebihan kulit dan membakar salur darah. Ini menjadikan proses berkhatan berisiko rendah dari segi pendarahannya. Proses khatan Aiman mengambil masa kurang daripada 30 minit. Alhamdulillah, sepanjang proses berkhatan Aiman tidak banyak karenah. Cuma menangis sedikit semasa disuntik ubat bius di tiga bahagian. Selebihnya, proses berjalan lancar.

1890989_724632884227072_771496698_n

…..Aiman mula menangis semasa di dalam kereta. Jenuh juga memujuknya. Bila sampai ke rumah Aiman sudah tidak menangis lagi dan sempat bergambar. Menjelang malam, Aiman mula menangis kembali. Sayu juga hati mendengar Aiman menangis. Esoknya, tangisannya sudah kurang tetapi Aiman sentiasa mahu saya berada di sampingnya.

Masuk hari ketiga selepas khatan, Aiman sudah kembali tersenyum dan gelagat nakalnya sudah ‘timbul’ kembali. Luka belum kering, tapi sekurang-kurangnya, Aiman Si Hebat CP benarkan saya menjadi tukang masak. Pecah rekod Aiman baring telentang tanpa meniarap…!! Alhamdulillah tidak gayat dengan posisi ini walaupun sebelum berkhatan, Aiman lebih selesa dengan posisi meniarap. Tiga hari tanpa aktiviti lasak, Aiman juga sudah kembali berqasidah..!! Cuma ketika tengah malam, Aiman masih merengek seketika…

1794768_725694240787603_1765596927_n

Semoga luka khatan Aiman akan segera sembuh dan Aiman akan kembali aktif seperti sebelumnya…!!

Aiman & Refleksologi..

Sejak tahun lepas kami mencari pusat refleksologi yang mahu memberi khidmat pada Aiman seperti mana nasihat yang diberi oleh ‘orang lama’ dalam ilmu rawatan alternatif kepada suami. Katanya, ” Seperti dalam kes Aiman atau kes-kes berat lain seperti strok, bekam akan menjadi lebih efektif apabila digabungkan dengan urutan refleksologi”. 

Namun semua juru refleksologi yang  kami temui, menolak untuk melakukan urutan refleksologi pada kanak-kanak. Ia menyedihkan saya.  Suami memujuk..”Mungkin takat tu ilmu yang mereka belajar…untuk dewasa, at least mereka berterus terang…”

Meneliti maklumat di internet, saya mendapati banyak kajian  telah dilakukan sebenarnya di luar negara untuk melihat sejauh mana keberkesanan urutan refleksologi kepada anak-anak Cerebral Palsy. Terbukti, hasil kajian menunjukkan perubahan yang positif!!

Sedikit tentang refleksologi :

Berdasarkan sejarah, rawatan refleksologi berasal dari Mesir sebelum disebarkan ke seluruh dunia, terutama China, sejak 5,000 tahun dahulu. Refleksologi merupakan satu kaedah pemeliharaan kesihatan dan penyembuhan penyakit dengan cara menekan titik pusat uraf saraf yang ada di badan di mana titik pusat urat saraf tersebut berhubung dengan organ-organ tubuh berkaitan.

Refleksologi membabitkan urutan pada 62 titik refleksi utama yang ada pada tapak kaki seseorang. Semua titik berkenaan mempunyai hubungan dengan organ utama pada tubuh antaranya jantung, paru-paru, ginjal, organ seks dan otak.

Antara kebaikan urutan refleksologi ini termasuklah mampu melancarkan pengaliran darah, meningkatkan daya tahan individu, mengurangkan risiko tulang reput, menyeimbangkan kedudukan badan, melancarkan pergerakan, menguatkan otot kaki, mengurangkan risiko kencing tidak lawas,  menguatkan tulang dan pinggul,  mengurangkan risiko sakit sendi, mengurangkan rasa letih, mengelakkan risiko sembelit, mengurangkan masalah usus dan mengurangkan masalah pada bahagian peranakan.

Alhamdulillah, akhirnya melalui maklumat yang diberi oleh saudara jiran belakang rumah, kami menemui juga seorang juru refleksologi yang sudi melakukan urutan refleksologi pada Aiman. Yang paling menggembirakan kami, rumah juru refleksologi ini hanya terletak lebih kurang 15 minit perjalanan dari rumah kami. Urutan refleksologi telah dimulakan sejak 11 Januari yang lalu. Bermula dengan 3x urutan selang sehari dan kemudiannya diteruskan seminggu sekali. Caj yang dikenakan pada anak-anak hanya RM20!! Hmmm..Rasa-rasanya selepas ini kami ingin menambah sesi kepada 2x seminggu khas untuk Aiman.

IMG14376-20140129-2013

Reaksi Aiman?? Menangis pada sesi pertama. Kata Encik Wahid, Aiman menangis kerana berasa sakit pada titik-titik refleksi yang ditekan dimana titik-titik ini mewakili bahagian-bahagian dan organ-organ tubuh yang mengalami isu. Selepas beberapa sesi Aiman sudah boleh menahan kesakitannya.

Semoga urutan refleksologi dan rawatan bekam yang dilakukan Aiman pada ketika ini mampu membawa perubahan positif pada tubuh Aiman dengan izin dan rahmat-Nya. Insya-Allah, kami juga akan berusaha untuk mempelajari ilmu ini untuk Aiman. Ganbatte!!

Tekad..

Pasti setiap di antara kita pernah menyimpan impian atau paling tidak pernah terlintas di hati untuk pergi menunaikan umrah dan fardu haji. Kami juga begitu. Tetapi bila teringatkan tentang jumlah pelaburannya yang bukan sedikit, impian kekal di situ tidak terusik. Apatah lagi bila pelaburan demi pelaburan dilakukan untuk pemulihan dan kemajuan Aiman. Namun, impian menuju Baitullah kembali melonjak dan melonjak lebih enam bulan lepas. Rindu pada Baitulah sukar digambarkan. Buku ‘Travelog Haji’ nukilan Prof. Muhd Kamil Ibrahim saya kira sebagai mesej dari-Nya sekaligus antara yang mengubah sempadan iman kami. Alhamdulillah…!! 

download

Akhirnya kami cukup pasti dan tekad untuk pergi menunaikan umrah sekeluarga secara sendiri dek bajet yang  sederhana. Memilih untuk mencuba pergi sendiri tanpa melalui mana-mana agensi pelancongan. Teringat kata-kata suami..”Kita pergi sendiri…kita tawakal…macam yang kita pernah lakukan semasa pergi ke China dulu..Niat kita baik, Insya-Allah urusan kita Allah permudahkan..”.  Kata-kata yang menjadi kekuatan dalam kebimbangan yang kadang kala menjengah.

Namun kita hanya merancang. Air mata laju mengalir di pipi tatkala rancangan awal untuk pergi menunaikan umrah pada hujung tahun lepas tertangguh. Rancangan awal masih kabur dengan tabungan yang masih belum mencukupi. Sayu rasanya hati bila mendengar khabar seorang demi seorang kenalan dan jiran dijemput menjadi tetamu-Nya. Akhirnya kami memilih tarikh baru iatu pada cuti persekolahan bulan tiga nanti!! Mungkin Allah mahu kami benar-benar bersedia dari segi ilmu dan keperluan sebelum menjadi tetamu-Nya..!! 

Namun bantuan agensi pelancongan masih diperlukan bagi permohonan Visa Umrah yang  memerlukan agensi pelancongan yang berdaftar sebagai perantara dengan pihak Kedutaan Arab Saudi. Alhamdulillah, setakat ini urusan-urusan permulaan dipermudahkan Allah. 

Jom, saya kisahkan apa yang kami telah lakukan ketika ini untuk perkongsian info.

1. Mula-mula sekali tiket penerbangan perlu ditempah. Sebenarnya banyak penerbangan yang boleh ditempah untuk perjalanan daripada Kuala Lumpur ke Jeddah. Antaranya MAS, Air Asia, Emirates Airlines, Saudi Airlines dan Bhiwani Airlines. Ada penerbangan terus dan ada juga yang  memerlukan kita transit seketika sebelum tiba. Akhirnya selepas sedikit waktu, kami memilih penerbangan terus yang pada ketika itu menawarkan harga tiket yang menarik!! Mengapa?? Memandangkan kami merancang pergi bersama anak-anak kami memilih penerbangan terus ke Jeddah kerana masa yang diambil mungkin mempengaruhi emosi juga keadaan anak-anak yang  mungkin keletihan dengan tempoh penerbangan yang panjang. Tiket yang ditempah juga boleh ditunda tarikhnya. Penting kerana urusan permohonan kelulusan Visa Umrah masih punya risiko yang tersendiri. Jadi walaupun perlu membayar lebih sedikit dari harga tawaran, kami kira kami mengambil langkah selamat, Insya-Allah.

2.  Tempahan hotel. Saya lakukan melalui Agoda.com. Tempah dahulu dan bayar kemudian serta yuran pembatalan percuma jika ia terpaksa dibatalkan (moga-moga ia tidak begitu!!). Yang penting lihat pada terma-termanya. Ada hotel yang memerlukan kita membayar seawal tempahan dan ada juga yang mengenakan caj pembatalan. Lihat pada komen-komen mereka yang pernah menduduki hotel-hotel supaya mudah kita mempertimbangkan hotel pilihan. Kami turut melihat jarak hotel ke Masjidil Haram dan ke Masjid Nabawi supaya pelan berjalan kaki bersama-sama anak-anak tidak terlalu memenatkan. Oops..hotel 6 bintang tidak berada dalam bajet kami…!!! 

3. Pengangkutan. Kami memilih Mecca Taxi Service untuk pengangkutan kami sepanjang berada di sana. Berhubung melalui email dengan tuan Abdul Rahman, warga Arab Saudi yang berada di sana memudahkan urusan kami. Alhamdulillah. Walaupun perkhidmatan bas menawarkan tambang yang jauh lebih murah, tetapi bila mengingatkan anak-anak dan kerusi roda Aiman, kami memilih untuk menyewa kenderaan sahaja. Tuan Abdul Rahman boleh dihubungi melalui info di bawah:

Phone

+966 55 803 0464

Email

b1881d@gmail.com

Facebook 

http://www.facebook.com/mecca.taxi

4.  Visa Umrah.  Ada beberapa dokumen yang perlu kita uruskan sendiri sebelum menyerahkannya kepada agensi pelancongan yang berdaftar untuk tujuan proses kelulusan Visa Umrah. Tetapi ada juga agensi pelancongan yang turut dapat melakukan penyediaan dokumen ini kepada kita. Saya senaraikan di bawah ini ya..

a. Salinan Sijil Nikah perlu mendapat pengesahan daripada pejabat agama Islam terdekat dan Wisma Putra. Jadi perlu ada 2 pengesahan pasa salinan dokumen ini.

b. Salinan Surat beranak anak-anak juga perlu mendapat pengesahan daripada pejabat JPN terdekat juga Wisma Putra.

c. Pasport antarabangsa yang tempoh tamatnya melebihi 6 bulan dari tarikh perjalanan.

d. Buku suntikan. Boleh dapatkan senarai klinik-klinik yang diberi tauliah oleh Tabung Haji di laman webnya.

e. 2-4 keping foto terkini (bilangan foto seperti yang dimnta oleh agensi). Pergi sahaja di kedai gambar dan beritahu kita perlukan gambar untuk Visa Umrah, pasti mereka tahu apa yang perlu mereka lakukan!!

f. Salinan tempahan tiket.

g. Salinan tempahan hotel di Mekah dan Madinah.

h. Caj perkhidmatan berjumlah RM350/orang perlu dibayar kepada agensi pelancongan terbabit.

Semua dokumen ini perlu diserahkan 3-4 minggu sebelum tarikh berlepas. Untuk pengesahan di Wisma Putra, kawan-kawan boleh terus pergi ke Wisma Putra di Putrajaya untuk tujuan pengesahan. Tidak perlu temujanji.

Satu lagi pilihan jika kita bercadang pergi menunaikan umrah tanpa pakej. Kita boleh sahaja mencuba ‘Ground Package’ yang disediakan oleh pihak agensi. Kita hanya perlu membeli tiket penerbangan dan yang selebihnya akan diuruskan oleh agensi. Ia juga masih murah daripada pakej penuh. Namun kami memilih untuk mengurus sepenuhnya sendiri untuk lebih jimat dan sekaligus dapat mengetahui selok belok dan melalui setiap pengalaman dalam proses perancangan dan pelaksanaan sebelum pergi menunaikan umrah.

IMG14363-20140128-1522

Moga-moga impian untuk menunaikan umrah dan ziarah kali pertama ini mendapat keizinan dan rahmat dari-Nya. Ketika ini kami sedang menyiapkan diri dengan bekalan ilmu dan barang-barang keperluan sedikit demi sedikit. Insya-Allah akan saya kongsikan setiap pengalaman baru kami dalam usaha kami untuk merealisasikan impian. Menuju Baitullah. Doakan kami sekeluarga diizinkan Allah menjadi tetamuNya. 

%d bloggers like this: