Archive for the ‘Si Hebat CP’ Category

Trip Jelajah Bumi Sakura

Lamanya tidak bersiaran di blog. Hari ini, saya kongsikan perjalanan kami ke bumi sakura. Perkongsian boleh tahan panjang ‘Siri Pertama Jelajah Bumi Sakura’ pada 24 November – 30 November 2016 lalu.

# Hari 1

Tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda pada pukul 10:30 malam. Alhamdulillah, sebelum keluar pintu pesawat, kerusi roda Aiman sudah menunggu.

Semasa pemeriksaan kastam, kami dapat laluan VIP kerana Aiman. Ambil beg, terus beli tiket keretapi di mesin tiket yang terdapat berhampiran pintu keluar.

Naik keretapi menuju ke Stesyen Zoshiki untuk ke rumah penginapan pertama. Alhamdulillah, semasa menempah rumah penginapan, tuan rumah sudah beri info terperinci. Kei San ke stesyen untuk menjemput kami. Jalan kaki ke rumah penginapan kira-kira 10-15 minit dalam suhu sejuk gedi.

Malam pertama di rumah penginapan pertama di Ota-ku Haneda.

# Hari ke-2

Pukul 7 pagi suami keluar menaiki keretapi untuk mengambil kereta yang ditempah di lokasi Haneda Airport. Kami tempah kereta tiga minggu sebelum trip di Economy Car Rentals (http://www.economycarrentals.com)

Suami balik, bawa bagasi dan bergerak ke Jhonan-Tokubudtsu-Shien Gakkou (Sekolah Pendidikan Khas Jhonan) yang terletak di Ota-ku, Haneda. Lawatan ringkas untuk menimba ilmu.

Selepas itu kami bergerak mencari kedai Lawson terdekat (ala Kedai 7-Eleven) untuk mencetak tiket Fujiko. F. Fujio Museum yang ditempah secara online di http://fujiko-museum.com/english/#sec-ticket. Tiada kaunter tiket di muzium ya.

Dapat tiket, terus ke Fujiko・F・Fujio Museum (Muzium Doraemon) yang di terletak di bandar Kawasaki. Boleh klik di sini untuk butiran lanjut, http://fujiko-museum.com/english/welcome/

Kami bergerak ke Tokyo. Solat jamak di Tokyo Camii. Beli makanan di kedai Lawson sebelum ke singgah ke kedai untuk mengambil ‘pocket wifi’ yang ditempah secara online di http://en.wifi-rental-store.jp/price.html. Sebenarnya mereka boleh hantar hingga ke depan pintu. Memandangkan kami tiada di rumah penginapan, kami mengambil keputusan mengambil terus di kedai.

Menuju ke Yokohama dan bermalam di sana.

# Hari ke-3

Bergerak ke Tasik Kawaguchi dengan menggunakan lebuhraya. Banyak terowong tetapi saiznya lebih besar. Tiada kereta yang tikam-tikam, beri lampu besar, hon-hon atau memandu seperti F-1. Semuanya berhemah. Di sepanjang jalan ketika hampir ke destinasi Fujisan menampakkan diri.

Selepas tiba ke Tasik Kawaguchi, ambil foto berlatar belakangkan tasik cantik dan Fujisan, kami bergerak ke Kachi-Kachi Ropeway http://www.kachikachiyama-ropeway.com/en/ yang terletak berdekatan sahaja. Salji agak tebal. Tiada akses kerusi roda dan beli tiket di tingkat satu. Namun, lelah mendukung Aiman dan kakak yang membawa kerusi roda secara bergilir berbaloi dengan pemandangan yang sangat cantik.

Sempat singgah di Gotemba Park dan tiga beradik golek-golek atas salji.

Menuju ke ladang teh di Imamiya. Tersasar pada mulanya tetapi kami dapat menikmati pemandangan indah dan merakam foto-foto kebun-kebun sayur, rumah-rumah kampung dan Fujisan yang terus menampakkan dirinya.

Destinasi seterusnya ke Masjid Fuji untuk menunaikan solat dan memberi sumbangan daripada kawan-kawan kepada pihak masjid.

Bergerak ke Pusat Islam Shizuoka untuk menyampaikan sumbangan kawan-kawan dan bermalam di rumah penginapan di Shizuoka.

# Hari ke-4

Hujan. Meneruskan perjalanan ke Miyama Kayabuki-No-Sato perkampungan tradisional di Kyoto yang berusia sekitar 150-200 tahun. Lihat link ini, https://uncoveringjapan.com/2014/01/10/spotlight-miyama-kayabuki-no-sato-kyoto-pref/

Pelan ke Kyoto Castle dibatalkan dek hujan yang terus turun. Kami bergerak ke Osaka dan singgah ke Masjid Osaka. Berjumpa wanita muslim berbangsa Jepun di sana.

Dari Masjid Osaka, kami ke Osaka Aquarium Kaiyukan. Tiket dijual di kaunter. (http://www.kaiyukan.com/language/eng/index.html) dan menaiki Tempozan Giant Ferris Wheel. Tiket juga boleh dibeli di kaunter. (http://www.osaka-info.jp/en/facilities/cat10/post_230.html). Giant Ferris Wheel dihentikan seketika untuk membolehkan ramp dipasang untuk kerusi roda Aiman dapat memasuki gondola.

Bermalam di Osaka.

# Hari ke-5

Jalan-jalan di taman Osaka Castle. Merasa cantiknya pemandangan musim luruh. Kemudian, kami terus bergerak ke Nara Park di Nara. Nara Park adalah antara taman tertua di Jepun. Lihat link ini, http://www.japan-guide.com/e/e4103.html. Memang seronok di sini. Singgah di bazar untuk membeli sedikit cenderamata dan kuih dorayaki yang baru dibuat.

Dari Nara, kami menuju ke Arashiyama Bamboo Grove di Kyoto (http://www.insidekyoto.com/arashiyama). Ramainya umat. Jalan masuk ke dalam sedikit, jumpalah pemandangan buluh yang indah. Bayaran parkir lot di sini mahal berbanding tempat lain.

Kami ke Masjid Kyoto, satu-satunya Masjid yang tidak membenarkan foto dalam masjid diambil.

Usai makan malam, kami bergerak ke Nagoya dan bermalam di hotel.

Suami belanja makan sushi dan tempura di restoran Jepun di sini.

# Hari ke-6

Hari terakhir di bumi sakura. Kami terus bergerak ke Shizuoka semula untuk destinasi kedua terakhir sebelum pulang. Kami singgah ke Chibi Maruko Chan Land yang terletak di S-Pulse Dream Plaza. (http://www.visit-shizuoka.com/en/spots/detail.php?kanko=5). Ada kedai cenderahati di plaza ini, dan tambah lagi.

Menuju Yokohama dan singgah ke Masjid Yokohama untuk menunaikan solat. Masjid kedua terbesar selain daripada Camii Mosque yang kami kunjungi sepanjang trip.

Selepas itu, kami mengunjungi RDA Yokohama untuk menimba dan berkongsi ilmu daripada tim di sana untuk terapi berkuda.

Menuju ke Haneda selepas itu untuk menyerahkan kembali kereta sewa. Kami dihantar oleh kenderaan Economy Car Rentals terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda.

Solat di ruang solat di tingkat 3F, Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda sebelum menikmati pizza original panas-panas di tingkat 4F.

Berlepas pulang pada jam 11:30 malam dan tiba di KLIA2 pada jam 6:10 pagi.

Poket WIFI- Kebanyakan rumah penginapan memang menyediakannya untuk dipinjam oleh penyewa. Memandangkan kami bergerak dari satu tempat ke satu tempat, kami mengambil keputusan untuk menyewa. Poket WIFI yang disewa, dipos kembali di kaunter pos yang terletak di lapangan terbang.

Kereta Sewa-Kami mengambil keputusan memandu sendiri untuk ‘merasa’ lebih dekat di bumi sakura. Boleh singgah di mana-mana dan mudah untuk membawa kerusi roda Aiman. ‘Navigator’ sedia ada tetapi ‘Google Maps’ masih diperlukan apatah lagi ketika mencari masjid.

Rumah penginapan-Kami tempah di https://www.airbnb.com/ dan Agoda.com. Jika memandu sendiri, pastikan ada parkir lot sendiri atau parkir lot yang berbayar dan dekat dengan rumah penginapan. Musim sejuk ini, pastikan rumah penginapan punya pemanas dan bekalan air panas juga. Jangan lupa kemas rumah penginapan dan buang sampah sebelum keluar.

Makanan-Kami bawa sedikit bekalan dari Malaysia. Namun, kami lebih banyak membeli di Lawson dan FamilyMart (kedai serbaneka ala 7-Eleven). Menu harian kami seperti Onagiri, salad, sushi, jagung, jus, teh panas, nasi yang siap dimasak dan ikan yang hanya dipanaskan di ‘mikrowave’ di rumah penginapan. Makan di mana sahaja semasa dalam perjalanan. Selalunya dalam kereta.

Insuran perjalanan-Kami mengambil insuran perjalanan daripada Allianz.

Kenangan yang manis di bumi sakura. Insya-Allah, kami akan berkunjung lagi untuk Siri Kedua Trip Jelajah Bumi Sakura.

Advertisements

Pelancaran Buku 3 Serangkai

Alhamdulillah, kisah perjalanan warna-warni kehidupan Aiman Si Hebat CP telah dibukukan dan bakal dilancarkan pada 18 April 2015 ini. 

Jemputan untuk semua pembaca di blog Timang Tinggi-tinggi. InsyaAllah, kami sekeluarga akan berada di sana.

Nantikan kemunculan buku “Lihat Langit Tinggi – Menggapai Impian Aiman”!!

En Hasan

Salam Ramadhan 1435H!!

10460449_809761255714234_1896428255884723990_n

Lama betul saya tidak mengemaskini blog…Congak-congak dari tarikh terahir sudah hampir tiga bulan. Allah, rasanya ini tempoh paling lama saya biarkan blog punya sarang labah-labah. Kehidupan agak sibuk kebelakangan ini. Cara termudah dengan mengemaskini status ringkas di FB. Jari-jemari laju di FB tetapi mula ‘kebas’ di blog. Malam ini, Alhamdulillah, Allah izinkan saya mencatat kisah di sini. Banyak momen pahit manis berlaku selama tiga bulan ini. Antara yang paling terkesan di hati kami bila Aiman diserang sawan lagi.

14 April 2014, Aiman diserang sawan setelah lebih dua tahun bebas dari serangan sawan. Serangan sawan kali ketiga ini terjadi semasa Aiman lena tidur, masih tiada demam dan dengan corak berbeza. Kami tidak pasti berapa lama ia terjadi kerana ketika itu semua sedang lena. Gerakan tangan kanan di luar kawalan Aiman yang terkena pada kepala katil berkali-kali mengejutkan saya . Aiman masih sedar semasa serangan sawan berlaku bila memberi respon samada dia mengenali saya atau tidak cuma bibirnya tidak mampu digerakkan, sekadar menyebut, “Tak, tak..”. Mulut sebelah kanannya tertarik sedikit ke tepi ketika itu. Berusaha untuk tidak panik, cuba menekan poin-poin untuk sawan tetapi ia tidak membantu. Mungkin kerana serangan sawan sudah agak lama berlaku. Jalan selamat, kami membawa Aiman ke hospital. Di Unit Kecemasan,  saya panik melihat Aiman tiada respon selepas disuntik ubat untuk mengawal gerakannya. Matanya langsung tidak berkedip!!  Doktor hampir panik!! Alhamdulillah, ia dapat diselesaikan. Ketika Aiman sedang dalam perjalanan ke wad pula, serangan sawan berlaku lagi, memaksa petugas membawa Aiman kembali ke Unit Kecemasan.  Aiman dibenarkan keluar dari hospital keesokan petang selepas tiada lagi serangan sawan yang berlaku dalam tempoh 24 jam selepas itu, tiada demam dan kami menolak untuk memulakan ubat sawan untuk Aiman.

Alhamdulillah!! Ketika ini Aiman sihat dan pertuturannya menuju kesempurnaan walaupun pergerakannya masih terbatas.

10153016_765534443470249_5124847541832426714_n

Alamak!! Jari mula ‘kebas’ semula…Rasanya di sini saya berhenti dahulu. Untuk kawan-kawan yang tertunggu-tunggu sambungan catatan perjalanan Umrah DIY kami tempohari…Insya-Allah, akan saya teruskan dalam projek buku Umrah DIY nanti. Doakan projek ini dipermudahkan-Nya.  

Untuk semua, kami ucapkan “Selamat menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini”…!!

Jumpa lagi!!

Aiman Masuk Jawi…

Alhamdulillah, Isnin lepas, 3 Rabiul Akhir 1435H, Aiman masuk jawi….Masuk jawi ketika umur Aiman 4 tahun 10 bulan..!!

Serius, saya ingatkan prosedur khatan untuk anak lelaki mudah dan pantas. Tetapi bila Aiman melaluinya, melihat sendiri dari awal hingga hampir selesai, ia bukanlah prosedur yang mudah. Ketika hampir selesai prosedur, tiba-tiba sahaja terasa mual…!! Suami memang tidak melihat proses khatan sekadar memegang tangan Aiman memberi semangat. Patutlah hanya Dr Anuar sahaja di Poliklinik Azhar & Rakan-rakan di daerah ini yang boleh melakukannya. Oleh kerana Dr Anuar tidak bertugas di Kulim pada Isnin lepas, kami ke Poliklinik Dr Azhar & Rakan-rakan di Bagan Ajam, Butterworth untuk khatankan Aiman.

IMG14415-20140203-1528

Proses khatan Aiman menggunakan kaedah konvensional bersama penggunaan alat Cautery. Alat ini ialah satu alat yang menggunakan elektrik atau bateri.  Ia menghasilkan haba di hujungnya dan boleh digunakan untuk memotong lebihan kulit dan membakar salur darah. Ini menjadikan proses berkhatan berisiko rendah dari segi pendarahannya. Proses khatan Aiman mengambil masa kurang daripada 30 minit. Alhamdulillah, sepanjang proses berkhatan Aiman tidak banyak karenah. Cuma menangis sedikit semasa disuntik ubat bius di tiga bahagian. Selebihnya, proses berjalan lancar.

1890989_724632884227072_771496698_n

…..Aiman mula menangis semasa di dalam kereta. Jenuh juga memujuknya. Bila sampai ke rumah Aiman sudah tidak menangis lagi dan sempat bergambar. Menjelang malam, Aiman mula menangis kembali. Sayu juga hati mendengar Aiman menangis. Esoknya, tangisannya sudah kurang tetapi Aiman sentiasa mahu saya berada di sampingnya.

Masuk hari ketiga selepas khatan, Aiman sudah kembali tersenyum dan gelagat nakalnya sudah ‘timbul’ kembali. Luka belum kering, tapi sekurang-kurangnya, Aiman Si Hebat CP benarkan saya menjadi tukang masak. Pecah rekod Aiman baring telentang tanpa meniarap…!! Alhamdulillah tidak gayat dengan posisi ini walaupun sebelum berkhatan, Aiman lebih selesa dengan posisi meniarap. Tiga hari tanpa aktiviti lasak, Aiman juga sudah kembali berqasidah..!! Cuma ketika tengah malam, Aiman masih merengek seketika…

1794768_725694240787603_1765596927_n

Semoga luka khatan Aiman akan segera sembuh dan Aiman akan kembali aktif seperti sebelumnya…!!

Aiman & Refleksologi..

Sejak tahun lepas kami mencari pusat refleksologi yang mahu memberi khidmat pada Aiman seperti mana nasihat yang diberi oleh ‘orang lama’ dalam ilmu rawatan alternatif kepada suami. Katanya, ” Seperti dalam kes Aiman atau kes-kes berat lain seperti strok, bekam akan menjadi lebih efektif apabila digabungkan dengan urutan refleksologi”. 

Namun semua juru refleksologi yang  kami temui, menolak untuk melakukan urutan refleksologi pada kanak-kanak. Ia menyedihkan saya.  Suami memujuk..”Mungkin takat tu ilmu yang mereka belajar…untuk dewasa, at least mereka berterus terang…”

Meneliti maklumat di internet, saya mendapati banyak kajian  telah dilakukan sebenarnya di luar negara untuk melihat sejauh mana keberkesanan urutan refleksologi kepada anak-anak Cerebral Palsy. Terbukti, hasil kajian menunjukkan perubahan yang positif!!

Sedikit tentang refleksologi :

Berdasarkan sejarah, rawatan refleksologi berasal dari Mesir sebelum disebarkan ke seluruh dunia, terutama China, sejak 5,000 tahun dahulu. Refleksologi merupakan satu kaedah pemeliharaan kesihatan dan penyembuhan penyakit dengan cara menekan titik pusat uraf saraf yang ada di badan di mana titik pusat urat saraf tersebut berhubung dengan organ-organ tubuh berkaitan.

Refleksologi membabitkan urutan pada 62 titik refleksi utama yang ada pada tapak kaki seseorang. Semua titik berkenaan mempunyai hubungan dengan organ utama pada tubuh antaranya jantung, paru-paru, ginjal, organ seks dan otak.

Antara kebaikan urutan refleksologi ini termasuklah mampu melancarkan pengaliran darah, meningkatkan daya tahan individu, mengurangkan risiko tulang reput, menyeimbangkan kedudukan badan, melancarkan pergerakan, menguatkan otot kaki, mengurangkan risiko kencing tidak lawas,  menguatkan tulang dan pinggul,  mengurangkan risiko sakit sendi, mengurangkan rasa letih, mengelakkan risiko sembelit, mengurangkan masalah usus dan mengurangkan masalah pada bahagian peranakan.

Alhamdulillah, akhirnya melalui maklumat yang diberi oleh saudara jiran belakang rumah, kami menemui juga seorang juru refleksologi yang sudi melakukan urutan refleksologi pada Aiman. Yang paling menggembirakan kami, rumah juru refleksologi ini hanya terletak lebih kurang 15 minit perjalanan dari rumah kami. Urutan refleksologi telah dimulakan sejak 11 Januari yang lalu. Bermula dengan 3x urutan selang sehari dan kemudiannya diteruskan seminggu sekali. Caj yang dikenakan pada anak-anak hanya RM20!! Hmmm..Rasa-rasanya selepas ini kami ingin menambah sesi kepada 2x seminggu khas untuk Aiman.

IMG14376-20140129-2013

Reaksi Aiman?? Menangis pada sesi pertama. Kata Encik Wahid, Aiman menangis kerana berasa sakit pada titik-titik refleksi yang ditekan dimana titik-titik ini mewakili bahagian-bahagian dan organ-organ tubuh yang mengalami isu. Selepas beberapa sesi Aiman sudah boleh menahan kesakitannya.

Semoga urutan refleksologi dan rawatan bekam yang dilakukan Aiman pada ketika ini mampu membawa perubahan positif pada tubuh Aiman dengan izin dan rahmat-Nya. Insya-Allah, kami juga akan berusaha untuk mempelajari ilmu ini untuk Aiman. Ganbatte!!

Aiman @ Kedai Buku…

Kedai buku dan kami sekeluarga seperti sudah menjadi BFF. Kunjungan yang kerap di kedai buku buat kebanyakan staf sudah mengenali. Sentiasa ada bajet bulanan untuk pembelian buku-buku. Bau buku baru dan rak-rak yang dipenuhi buku-buku sudah cukup menjadi terapi pada kami sekeluarga.

Kebelakangan ini, adik-adik staf sudah tidak segan lagi menyapa kami sekeluarga khususnya Aiman. Aiman sentiasa diraikan di kedai buku favourite kami. Lihat sahaja Aiman masuk dengan kerusi  roda comelnya, sudah ada yang tersenyum, sudah ada yang menyapanya..”Aiman, Aiman…”. Ada yang cuba berbual dengan Aiman. Aiman malu-malu seperti biasa. Selalunya pasti ada ole-ole untuk Aiman. Ada yang beri coklat, kismis dan belon-belon!! Selalunya sebelum pulang akan ada seorang adik staf lelaki yang akan mencium kepala Aiman sebelum kami melangkah pulang….Saya kira pandangannya nampak cukup tulus dan penuh empati kepada Aiman..!!

IMG14300-20140112-2121

Sekarang Aiman sudah makin hilang segannya. Manisnya, Aiman sudah mula mahu bersuara, ketawa bila diusik dan sudah berani menunjukkan gelagat nakalnya!!

Aiman & Fisioterapi

Sejak awal tahun ini, Aiman sudah memulakan sesi fisioterapi di rumah bersama GT Physio & Rehabilitation Center pada hujung minggu. Kali ini kami memilih fisio Aiman dilakukan di rumah, untuk menjimatkan masa dan tenaga! Tambahan pula hujung minggu selalunya kami sibuk dengan perkhidmatan bekam kami..

Caj yang dikenakan mengikut jarak lokasi. Untuk permulaan, kami juga memilih fisioterapi secara pakej dengan jumlah pelaburan RM810 = 10 sesi fisio kerana lebih menguntungkan. Setakat ini kami berpuas hati dengan perkhidmatan mereka. Jadi kalau kawan-kawan di sebelah utara ingin mencuba, boleh sahaja menghubungi:

GT Physio & Rehabilition Centre,

30, Persiaran Tenggiri, Seberang Jaya, Penang.

Contact: 0125008700 

…dan macam biasa juga, Aiman berdebar-debar dan cuma tersenyum simpul di sepanjang sesi!!

IMG14282-20140104-1515

Insya-Allah, saya juga akan kongsikan satu lagi terapi baru Aiman pada entri berikutnya…!! Semoga tahun ini Aiman mampu untuk duduk sendiri dengan izin dan rahmat dari Allah!! Ganbatte!!

%d bloggers like this: